Cassa desak catuan air dihentikan!

Dato Jacob George

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) mendesak pelan catuan bekalan air dihentikan serta-merta sehingga satu pelan lebih menyeluruh dibentangkan.

Presiden Cassa, Datuk Dr Jacob George berkata, pihaknya kesal dan mempertikaikan mengapa tidak ada agensi boleh membuat satu pelan strategi khas dalam menangani masalah dihadapi pengguna.

George membidas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), kerajaan pusat, kerajaan negeri dan syarikat-syarikat konsesi kerana didakwa tidak mempunyai pelan jangka masa panjang untuk mengatasi masalah krisis air.

“Kita lihat cara mereka nak atasi masalah ini adalah semata-mata sekadar reaksi terhadap apa yang sudah berlaku dan ianya tidak konsisten.

“Sepatutnya satu pelan strategi khas diwujudkan untuk mengatasinya dan Cassa mahukan pelan catuan ini dihentikan serta-merta,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna yang tidak berpuas hati dengan pelan catuan kerana dikatakan tidak konsisten.

Katanya, pengguna juga menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak adil kerana ada kawasan-kawasan tertentu yang tidak dicatu.

“Kita terima aduan pelan ini seolah-olah pilih kasih kerana sepatutnya semua dicatu dan bukan sebahagian kawasan saja.

“Sebab itu saya katakan pelan strategi khas perlu dilaksanakan segera bagi meredakan ketakutan pengguna kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan sekarang tidak konsisten,” katanya.

George berkata, Cassa menuntut penjelasan daripada semua pihak terlibat berhubung isu tersebut dan sentiasa sedia bekerjasama.

Dalam pada itu, beliau menyokong langkah melaksanakan pembenihan awan dijalankan setakat ini.

Menurutnya, projek Loji Rawatan Air Langat 2 perlu dipercepatkan agar dapat membantu menyelesaikan isu dihadapi kira-kira 7 juta penduduk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.