CASSA: Hidangan daging lembu dikatakan kambing!

Cerita Lama 12 Tahun Kembali? (Gambar dibawa!)

Hidangan daging lembu dikatakan kambing

KUALA LUMPUR – Segelintir restoran mamak dan India didakwa melakukan penipuan apabila masakan daging lembu dijual sebagai daging kambing.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George berkata, pihaknya menerima kira-kira 300 aduan berhubung perkara itu sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) segera melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap premis-premis berkenaan.

“Aduan daripada pelanggan setiap hari semakin meningkat, oleh sebab itu CASSA meminta KPDNKK melihat isu ini secara serius,” katanya kepada MalaysiaGazette.

George tidak menolak harga daging kambing yang jauh lebih mahal sekarang telah mendorong kes seumpama itu berlaku.

Menurutnya, perkara itu disedari oleh pengguna-pengguna apabila tekstur dan rasa daging kambing yang hidangkan mempunyai kelainan rasa.

“Mungkin mereka yang tidak biasa atau jarang-jarang makan tidak menyedari hal ini tetapi bagi penggemar daging kambing, mereka tahu menilai rasa dan tekstur daging itu.

George berharap kenyataan ini dapat membuka mata peniaga atau persatuan-persatuan yang mewakili restoran-restoran agar perkara ini ditangani segera.

“Ini kerana, selain kesalahan menipu, perbuatan segelintir kedai makan atau restoran itu menyalahi kepercayaan penganut agama tertentu,” jelasnya. – MalaysiaGazette