CASSA Jamin SPAD Umum Kadar Kenaikan Tambang Bas Sekolah Yang Munasabah!

Dato Jacob George

Post PicCASSA Jamin SPAD Umum Kadar Kenaikan Tambang Bas Sekolah Yang Munasabah!

Ditulis Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar – Antarapos

SHAH ALAM: Satu kadar munasabah akan diberikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) kepada pengusaha bas sekolah di negara ini, demikian menurut Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George.

Kadar tersebut, menurut Jacob akan seiring dengan peningkatan dan penambahbaikan mutu beberapa aspek seperti perkhidmatan dan keselamatan kepada penggunanya.

Malah kaedah yang dilaksanakan SPAD dalam mendapatkan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan sebelum kadar baharu diputus dan diumumkan turut dipuji CASSA, atas rasa prihatin dan tanggungjawab kepada ibu bapa dan kanak-kanak sekolah.

Ditanya lanjut berapa jumlah peratusan kenaikan itu, Jacob bagaimanapun menjelaskan ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Saya telah mengikuti siri perbincangan dua hala bersama SPAD. Saya sudah lakukan perbincangan dengan Pengerusi SPAD. Pada pandangan saya, saya mengalu-alukan apa tindakan SPAD berjumpa dengan golongan berkepentingan dan dapatkan maklum balas dari situ.

“Saya sokong apa tindakan yang mereka buat. Dan saya sokong kenaikan yang mereka akan bentangkan nanti. Kenaikan itu adalah munasabah dan proaktif, yang telah beberapa kali dibincangkan.

“Belum ditetapkan dan masih dalam perbincangan. Kita akan dipanggil untuk berbincang lagi. Seperti saya kata, susah untuk ditetapkan sebab ia berkaitan dengan pelbagai perkara yang turut menerima kesannya,” katanya kepada Antarapos.

Jacob berkata demikian ketika ditanya hasil kajian tambang bas sekolah yang dilakukan SPAD, sepertimana yang diminta oleh Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) untuk menaikkan sebanyak 40 peratus.

PPPBSM berkata kenaikan itu adalah wajar bagi menampung kos operasi yang semakin lama semakin meningkat.

Malah ia juga disebabkan harga diesel yang meningkat sejak 2 September lalu semenjak kerajaan mengurangkan subsidinya, demikian menurut Presidennya, Amali Munif Rahmat.

Ditanya mengenai kadar kenaikan tambang teksi yang turut meminta perkara yang sama, Jacob berkata kenaikan itu juga pada paras yang sesuai dan tidak akan membebankan pemandu teksi serta golongan pelanggan.

“Tidak, dari apa yang difahamkan ia akan menjadi kenaikan yang munasabah dan datang dengan mutu perkhidmatan yang cemerlang dan profesional. Dalam keadaan itu saya sokong sebab mereka buat kajian dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak sebelum ia diputuskan,” jelasnya.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar baru-baru berkata penstrukturan semula industri teksi termasuk isu tambang, permit teksi individu dan pajakan (sewa beli) teksi akan diumumkan tidak lama lagi.

“Saya fikir kajian ini sudah di peringkat akhir. Insya-Allah tahun depan kita akan membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata sebarang kenaikan tambang akan diperinci dan mesti rasional kerana memikirkan keadaan pada masa kini banyak orang merungut bahawa terpaksa berdepan dengan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan.

Our campaign against RACISM of all forms!