CASSA: Memang rakyat tidak mampu berbelanja!

Memang rakyat tidak mampu berbelanja

Dr Jacob George. foto IQBAL BASRI

KUALA LUMPUR – Tanyalah pengguna dan peniaga. Mungkin jawapan itu lebih tepat dalam menjawab persoalan mengenai trend perbelanjaan pada masa ini, kata  Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George.

Menurutnya, tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa kenaikan kos sara hidup di negara ini menyebabkan pengguna-pengguna semakin berhati-hati semasa berbelanja.

Corak perbelanjaan isi rumah tidak lagi sehebat lima tahun lalu, yang mana majoriti pembeli memilih dan beli barangan yang dikehendaki berbanding sekarang beli mana yang perlu sahaja.

Kesannya, jumlah pelanggan di pasar-pasar raya dan kompleks beli-belah semakin berkurangan.

Malah, semakin banyak kedai-kedai di dalam gedung beli-belah terpaksa ditutup kerana kekurangan jualan dan penyewa tidak mampu menampung beban sewa dan kos-kos lain.

“Situasi ini adalah realiti dan bukan perkara yang tidak masuk akal (nonsense).
Keadaan ini berlaku kerana rakyat Malaysia tidak mempunyai lebihan pendapataan, semuanya cukup-cukup makan sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah beliau, untuk membeli barang-barang dapur, suri rumah juga tidak lagi memilih pasar raya disebabkan faktor harga barang, selain aspek lain seperti jarak perjalanan yang memerlukan kos petrol dan caj letak kereta.

Mereka kini memilih untuk membeli di kedai-kedai kecil, berhadapan dengan kediaman yang mana harganya jauh lebih murah dan boleh membeli dalam kuantiti yang diperlukan.

Bukan sahaja pasar raya dan gedung beli-belah semakin kurang sambutan tetapi restoran biasa, restoran makanan segera, kafe-kafe juga begitu disebabkan pengguna tidak mahu dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta caj perkhidmatan.

Bukan itu sahaja, prestasi jualan hartanah dan kenderaan juga menyusut, sekali gus menunjukkan rakyat tidak mempunyai wang untuk berbelanja.

“Dari sudut kepenggunaan bagi saya perkembangan ini adalah positif kerana pengguna semakin bijak menggunakan wang yang ada.

“Tetapi ia akan menjadi isu kepada ekonomi jika pengguna berterusan dengan sikap berhati-hati ini, dikhuatiri akan menyebabkan perbelanjaan domestik terjejas,” jelas beliau.

George berkata, bagi menampung kenaikan kos sara hidup kebanyakan golongan berpendapatan sederhana dan rendah melakukan lebih dari satu pekerjaan.

“Ada yang jadi pemandu Grab dan Uber atau berniaga sambilan. Suri rumah juga membantu suami dengan menjadi pengasuh kanak-kanak.

“Pekerja-pekerja pejabat pula semakin ramai yang membawa bekalan makanan dari rumah sebagai langkah berjimat-cermat.

“Ini realiti sekarang, kenapa tidak mahu percaya? Mungkin ada pihak yang cuba menafikan dengan memberi kenyataan dalam pelbagai bentuk angka, hakikatnya pengguna yang merasainya,” kata George. – MalaysiaGazette