Cassa sedia rangka kerja atasi masalah air

Dato Jacob George

‘”Cassa mahukan isu air di Selangor diselesaikan secara baik kerana Selangor selaku sebuah negeri termaju tidak boleh tiada air yang cukup,” kata beliau dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.”

Cassa sedia rangka kerja atasi masalah air

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) sedang menyediakan satu rangka kerja mengandungi pelbagai cadangan untuk mengatasi masalah air di Selangor.

Photo

Presiden Cassa Datuk Dr Jacob George berkata penyelesaian konkrit diperlukan untuk mengendalikan gangguan bekalan air semasa di beberapa tempat di Selangor yang boleh mendatangkan masalah keselamatan yang serius jika tidak ditangani.

“Rangka kerja itu akan mengambil kira pandangan-pandangan dari peringkat akar umbi, termasuk daripada 150 kumpulan khas Cassa yang berada di lapangan memantau 24 jam keadaan air semasa di Selangor,” katanya.

Pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keadaan semasa air di Selangor bulan hadapan, kata George.

“Cassa mahukan isu air di Selangor diselesaikan secara baik kerana Selangor selaku sebuah negeri termaju tidak boleh tiada air yang cukup,” kata beliau dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.

George berkata Cassa menerima lebih daripada 600 aduan tentang masalah air termasuk kemungkinan catuan air jika kemarau berterusan dan sejumlah besar amonia yang dikesan di Sungai Langat yang mengakibatkan penutupan sementara dua loji rawatan air pada 28 Januari lepas.

Dalam hal lain, George mendakwa Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mempolitikkan isu-isu pengguna seperti masalah air di negeri ini untuk keuntungan politiknya.

Rafizi sepatutnya berhenti daripada menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) apabila berlaku gangguan bekalan air di Selangor dan yang terbaru di Dengkil, Kuala Langat dan Balakong berikutan penemuan sejumlah besar amonia di Sungai Langat.

Sedangkan, katanya, kerajaan negeri yang diterajui PKR telah membekukan perbelanjaan modal untuk Syabas melakukan kerja mitigasi termasuk menggantikan paip-paip lama untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan air di negeri ini. – Bernama