Consumerist: Bangkok Trip Of Excos – Selangor State Govt Urged To Be Accountable & Transparent!

Dato Jacob George

Post Pic

Tindakan mengadakan mesyuarat exco di Bangkok, Thailand semata-mata untuk mengelakkan ketidakhadiran anggota adalah tidak masuk akal, kata Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George.

Malah katanya adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap exco untuk menghadiri mesyuarat mingguan yang telah ditetapkan.

“Alasan yang diberikan adalah tidak masuk akal bila ada mesyuarat dan semua wajib datang, mereka (ahli exco) bukan budak-budak sekolah, mesti tahu tanggungjawab kepada kerajaan Pakatan dan masyarakat,” katanya kepada Antarapos.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Exco Pembangunan Usahawan, Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi yang mengatakan antara sebab mengapa mesyuarat exco diadakan di Bangkok minggu lalu adalah untuk mengelakkan ketidakhadiran anggota.

Daroyah juga berkata jika ia diadakan di luar negara, anggota yang hadir akan lebih fokus kepada matlamat perbincangan.

Jacob menambah, kerajaan negeri sepatutnya menggunakan dana awam dengan cara berhemah dan bukannya dengan membiayai kos pemukiman (retreat) kerajaan negeri di negara jiran.

“Jika nak elakkan pembaziran wang dan sebagainya mereka kena mengadakan perbincangan dan buat keputusan buat perbincangan di negeri lain dalam negara.

“Orang akan tanya mengapa Bangkok, mengapa bukan negeri atau tempat lain? Apa yang (berlainan) istimewa di Bangkok tidak ada dalam negara kita,” beliau mempersoal.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini memberitahu selepas mengadakan pemukiman di Bangkok, kerajaan negeri berjaya mencapai beberapa persetujuan dalam pentadbiran selain menarik pelaburan bernilai RM500 juta ke i-City di Shah Alam.

Our campaign against RACISM of all forms!