Consumerist: GST kad prabayar: Kerajaan kena putuskan bukan Telco

Dato Jacob George

Kerajaan perlu ada satu arahan yang tepat dalam isu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terutama melibatkan perkhidmatan kad tambah nilai supaya tidak mengeliru dan mendatangkan kemarahan rakyat.

Pelbagai keputusan dan pengumuman mengenai isu kad tambah nilai menunjukkan kerajaan tidak bersedia dalam melaksanakan sistem cukai tersebut.

Jika kerajaan dilihat seperti flip-flop dalam isu kad tambah nilai pada hari ini, mungkin esok atau lusa pengeluar barangan atau penyedia perkhidmatan lain juga akan mengemukakan perkara yang sama.

Sekiranya perkara seumpama ini dibenarkan berlaku, pelaksanaan GST akan menjadi mimpi ngeri kepada rakyat yang belum dapat menyelaraskan cukai tersebut dalam perbelanjaan harian.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk George Jacob melahirkan rasa hairan mengapa kerajaan tunduk kepada permintaan syarikat telekomunikasi dan bukannya melindungi pengguna.

Sedangkan, bertahun-tahun pengguna berhadapan dengan isu-isu telekomunikasi termasuk isu gangguan panggilan dan perkhidmatan teruk oleh syarikat-syarikat telekomunikasi tidak mendapat perhatian pantas seperti isu GST.

Syarikat telekomunikasi tidak rugi-rugi apa jika tidak mengenakan GST kepada pengguna kerana selama ini pun mereka mendapat wang terlebih dahulu sebelum perkhidmatan digunakan.

“Pengguna perlu beli dahulu kad tambah nilai dan baru boleh menggunakannya. Syarikat telekomunikasi sudah untung di sini. Begitu juga dengan pembelian kad Touch n Go.

“Jika GST dilaksanakan ke atas kad tambah bayar, syarikat telekomunikasi mengaut keuntungan berlipat ganda,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lagipun, GST ke atas kad tambah bayar tidak menggambarkan sistem GST – cukai dibayar apabila mengguna barangan
dan perkhidmatan.

Semalam, kastam mengumumkan syarikat telekomunikasi kini boleh mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 % bagi perkhidmatan
kad tambah nilai dengan syarat mereka menawarkan masa berbual tambahan.

Bagaimanapun, Pengarah Kastam bahagian GST, Datuk Subromaniam Tholasy memberitahu, syarikat telekomunikasi mempunyai dua pilihan sama ada mengekalkan harga kad tambah nilai dengan menyerap enam peratus GST atau boleh mengenakan caj enam peratus daripada harga kad tambah nilai dengan syarat mereka memberikan masa berbual tambahan kepada pengguna.

Syarikat telekomunikasi akhirnya bersetuju dan menetapkan sekiranya harga kad tambah nilai RM10.60, pengguna akan diberikan masa berbual tambahan sehingga RM1.

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas pengguna dimaklumkan oleh Subromaniam bahawa harga semua kad tambah nilai kekal apabila syarikat telekomunikasi bersetuju menyerap GST. – MalaysiaGazette