Consumerist: Malaysian Consumers Not Ready For GST!

Dato Jacob George

Image result for No to GST

Rakyat belum sedia dengan GST

Menjelang lima hari berkuatkuasanya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini – pengguna Malaysia didapati masih tidak bersedia untuk GST.

Itu hasil pemerhatian daripada Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) selepas mendapati rakyat masih tidak memahami GST dan pasaran mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan cukai tersebut disebabkan kelemahan dalam sistem undang-undang yang ada.

Image result for No to GST

Keadaan itu diburukkan lagi oleh agensi-agensi yang memberi maklumat menambahkan kekeliruan tentang cukai tersebut.

Presiden CASSA, Datuk George Jacob berkata, pelaksanaan GST tidak lama lagi hanya menakutkan rakyat kerana harga barangan dan perkhidmatan naik.

Implikasi kenaikan ini sudah tentu akan menjejaskan poket rakyat kerana gaji tidak naik setinggi lonjakan harga barang.

“Kerajaan melalui agensi-agensinya sehingga hari ini masih gagal untuk menjawab persoalan mahupun bertindak kenapa semua harga barang dan perkhidmatan naik.

“Harga barang dinaikkan, pengguna kena GST. Apa yang tinggal dalam poket rakyat?,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jacob berkata, beliau tidak membantah pelaksanaan GST tetapi tidak berpuas hati kerana kerajaan menguatkuasakan cukai itu pada masa yang tidak sesuai.

Lantaran itu, katanya, kerajaan tidak boleh menolak persepsi rakyat bahawa GST dilaksanakan sekarang untuk menangani kekangan kewangan kerajaan, juga ‘senjata’ bagi mengimbangi pasaran – dalam erti kata GST untuk kerajaan dan bukan untuk rakyat.

Tambah beliau, memang betul GST dilaksanakan di lebih 160 buah negara namun bukan semuanya berjaya. India antara negara yang tidak berjaya.

Jacob menambah, majoriti negara yang melaksanakan GST adalah dalam kalangan ekonomi stabil, gaji yang tinggi dan sudah melaksanakan pendidikaan GST secukupnya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan Malaysia masih belum bersedia untuk melaksanakan GST pada masa sekarang memandangkan isu-isu kecil membabitkan poket rakyat tidak dapat diselesaikan.

“Macam mana mahu melaksanakan GST jika tindakan tegas tidak dilakukan terhadap peniaga yang melakukan penipuan kepada pengguna.

“Dan, agensi-agensi penguatkuasaan gagal menangani masalah antara peniaga dan rakyat? Kalau isu-isu ini pun diwarisi bertahun-tahun, adakah dengan GST semuanya akan selesai?

Jacob mengakui sukar bagi kerajaan menangguhkan pelaksanaan GST pada 1 April ini tetapi rakyat pasti tersenyum dan berterima kasih jika kerajaan mampu berbuat demikian. – MalaysiaGazette