HARAPAN SAYA UNTUK BAJET 2018 – PRESIDEN CASSA!

HARAPAN SAYA UNTUK BAJET 2018 – PRESIDEN CASSA!

Kerajaan dicadang supaya menurunkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan sebanyak 6.0 peratus sekarang kepada 3.0 peratus pada Bajet 2017.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor (CASSA),Datuk Dr. Jacob George berkata, walaupun ia sukar dilakukan oleh kerajaan tetapi cadangan itu wajar dipertimbangkan dengan mengambil kira lonjakan kos hidup, peningkatan pengangguran dan penurunan perbelanjaan.

Malah, ada juga pekerja yang diberhentikan pekerjaan selepas majikan mahu mengecilkan saiz perniagaan atas alasan ketidaktentuan ekonomi atau alasan “restructuring?”

Jacob berkata, kenaikan kos hidup yang melambung sekarang dirasai oleh semua peringkat masyarakat dan pekerja, baik yang berpendapatan rendah, juga sederhana.

“Sama ada kerajaan sedar atau tidak, pasar-pasar raya, pusat beli-belah dan pasar malam semakin lenggang. Pengguna susah lagi untuk berbelanja kerana ikat perut.

“Ada ketua-ketua keluarga yang melakukan tiga pekerjaan untuk mengisi perut anak-anak, memastikan perbelanjaan rumah dan persekolahan tidak putus.

“Lantaran itu, saya cadangkan kerajaan kurangkan kadar GST kepada 3.0 peratus agar pengguna boleh ‘bernafas’,” katanya.

Tambahnya, semua pihak akui pelaksanaan GST memberi kesan ketara dalam kehidupan rakyat kerana harga barang makanan, khususnya naik, walaupun ia diperjelaskan oleh kerajaan.

Beliau berkata, masalah ini berlaku agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan tidak melakukan pemantauan seperti ketika mula-mula GST dikuatkuasakan.

“Jika pemantauan dibuat tidaklah harga barangan yang sama di kedai A tidak sama di kedai B, C dan D.

George juga meminta Perdana Menteri mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan kemasukan pekerja-pekerja asing di negara ini kerana kehadiran mereka telah menjejaskan mata pencarian penduduk tempatan.

Jelas beliau, penduduk tempatan sekarang sukar mendapat kerja kerana terpaksa bersaing walaupun dalam sektor-sektor yang tidak sepatutnya.

“Kalau di pasar raya siapa juruwang kalau bukan pekerja asing. Sehinggakan warga Indonesia boleh membuka kedai di Chow Kit dan di Brickfield pula dipenuhi dengan warga Bangladesh.

“Hinggakan di kedai-kedai runcit pun muka pendatang asing,” katanya yang tidak bersetuju dengan pandangan kerajaan bahawa rakyat Malaysia tidak mahu bekerja dalam sektor pekerjaan 3D ‘kotor, bahaya dan sukar’.

“Jika gaji yang dibayar setimpal siapa yang tidak mahu kerja dan sepatutnya kerajaan telus dengan mendedahkan sektor-sektor terlibat,” jelasnya.

Kata beliau, pengurangan penggantungan kerja terhadap buruh asing perlu ditangani segera kerana ia tidak selari dengan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Kita perlukan pekerja mahir di Malaysia, bukan lambakan warga-warga asing yang tidak terlatih saperti daripada Bangladesh yang bukan “pekerja” tapi “migrant ekonomi!”