Kartel, bukan cukai, punca harga naik, kata persatuan pengguna

August 25, 2018

PETALING JAYA: Sebuah persatuan pengguna menggesa kerajaan menghapuskan kartel dan orang tengan di negara ini yang katanya mengawal harga barangan makanan sepanjang 25 tahun lepas.

Jacob berkata, kementerian sepatutnya menyasarkan kartel dan orang tengah sebelum pilihan raya 9 Mei lepas tetapi tidak melakukannya kerana pilihan raya.

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam berkata, ia tidak terperanjat dengan kenaikan harga barang makanan di Lembah Kelang walaupun selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan baru-baru ini.

Bercakap kepada FMT, presidennya Jacob George berkata, harga barang makanan akan terus naik selagi “pemain lama” masih berada dalam sistem.

“Satu-satunya cara untuk menghentikannya ialah keazaman politik tinggi bagi menghapuskan kartel dan orang tengah daripada sistem,” katanya.

George, yang merupakan aktivis pengguna selama 40 tahun lepas, mendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna tahu tentang latar belakang kartel kerana maklumat tentang mereka ada dalam sistem kementerian itu.

“Mereka ada pangkalan data lengkap di hujung jari. Kementerian juga tahu kerana mereka yang mengeluarkan lesen kepada golongan itu,” kata beliau.

“Kita kenal pengimport, orang tengah, peruncit dan bagaimana produk digerakkan ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita tahu kenapa kos meningkat, proksi yang terlibat, siapakah yang tidak terlibat, siapakah yang membuat untung secara senyap-senyap dan siapakah penyorok barang juga,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kementerian sepatutnya menyasarkan kartel dan orang tengah itu sebelum pilihan raya 9 Mei lepas tetapi tidak melakukannya kerana pilihan raya.

George, yang sebelum ini turut menganggotai jawatankuasa di peringkat kementerian, memberi respons terhadap kadar inflasi yang diukur mengikut Indeks Harga Pengguna yang mencatatkan kenaikan harga sebanyak 3.5% bagi barangan makanan dan minuman bukan arak di Kuala Lumpur Julai lepas. Angka ini jauh mengatasi kenaikan harga yang dicatatkan di negeri lain.

Jabatan Perangkaan berkata indeks bagi rumah kediaman, elektrik, gas dan bahan api lain naik sebanyak 2%, sementara pendidikan naik 1%.

George berkata, kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) perlu menubuhkan sebuah pasukan petugas terdiri daripada pegawai kanan kerajaan daripada pelbagai jabatan termasuk Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan pengawal sempadan bagi menangani perkara itu.

Jika tidak katanya, harga barangan makanan akan terus naik walaupun selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhimatan (SST) September depan.

“Kita perlu menyasarkan kartel ini dan mematahkan taring mereka. Mereka mengawal harga setiap barangan yang dijual di kedai,” katanya, dan menambah bahawa orang tengah inilah yang mendapat untung besar.

“Ini mesti dihentikan.”