Presiden CASSA terima ugutan kerana bela nasib penduduk kondo

Breaking News 1

Consumer 1

758

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Jacob George bercakap pada sidang media mengenai presiden CASSA terima ugutan bunuh di Lake View Club Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI 31 JULAI 2017

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Jacob George bercakap pada sidang media mengenai presiden CASSA terima ugutan bunuh di Lake View Club Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI 31 JULAI 2017

SHAH ALAM – Gara-gara membela nasib penduduk Kondo Bunga Raya Saujana di sini, presiden Persatuan Pengguna Subang & Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George menerima ugutan dari perbadanan pengurusan kondo tersebut.

Dalam sidang media yang diadakan, Jacob memberitahu dia telah dilantik oleh beberapa penduduk di situ bagi mewakili mereka dalam urusan undang-undang.

Namun kerana tidak senang dengan kehadiran Jacob, dua lelaki menaiki motosikal untuk mengugutnya.

Kejadian berlaku pada awal pagi 27 Julai ketika Jacob baharu sahaja meninggalkan kediamannya di TTDI Jaya, Shah Alam.

Jacob yang memandu kereta ketika itu pada awalnya terkejut setelah cermin keretanya diketuk salah seorang penunggang motosikal tersebut dan memberinya amaran.

“Jangan masuk campur hal Bunga Raya Kondo ini, sebelum Datuk diapa-apakan,” ujar Jacob sebagai mengulangi apa yang diperkatakan oleh salah seorang penunggang motosikal tersebut.

Ekoran kejadian, Jacob membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Menerusi sidang media yang sama, Jacob menerangkan, dia mewakili penduduk di situ bagi urusan undang-undang berkenaan ketidakpuasan hati mereka terhadap perbadanan pengurusan kondo tersebut.

Penduduk di situ berasa tidak puas hati dengan perbadanan pengurusan terbabit yang telah menebang pokok-pokok besar yang menjadi hiasan landskap di kawasan kediaman mereka.

Pelbagai aduan telah dilakukan termasuk kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Meski pun aduan berpihak kepada penduduk namun pengurusan kondominium itu tidak melayan hal tersebut dan meneruskan kerja-kerja tersebut.

Salah seorang penduduk di situ, Charlotte Lee, 70 tahun memberitahu, mereka telah meminta mesyuarat jawatankuasa penduduk diadakan bagi membincangkan hal tersebut namun usaha mereka sekadar sia-sia.

Wakil penduduk, Charlotte Lee bercakap pada sidang media mengenai presiden CASSA terima ugutan bunuh di Lake View Club Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI 31 JULAI 2017

Malahan Charlotte telah membuat laporan polis setelah dia dikasari salah seorang wakil perbadanan pengurusan tersebut.

“Pada 27 Julai lalu, mereka telah mengunci kerusi-kerusi rehat di kawasan kondo, ketika saya bertanya kenapa mereka mengunci kerusi tersebut saya telah dikasari mereka,” ujar Charlotte lagi.

Aduan telah dibuat di Balai Polis Ara Damansara pada hari yang sama. – MalaysiaGazette