Dibeban Institusi Kewangan, 35 Aduan Rakyat Diterima Setiap Minggu – CASSA

By Farhana Farush from Getaran.my

Terperangkap di dalam terowong penuh kegelapan, menanti seberkas cahaya yang entah bila akan menjelma, terus mengatur langkah sarat berladung duka.

Bait kata tidak akan mampu mengungkapkan resah sebenar di hati sejumlah besar rakyat negara ini apabila berdepan kesempitan hidup, gara-gara Malaysia dilanda ancaman pandemik COVID-19 yang entah bila akan berakhir.

Dihambat kemelut kewangan berskala kritikal pastinya bukan keinginan mereka, namun krisis kewangan global angkara COVID-19 menyebabkan masing-masing tidak terlepas daripada tempias kemelesetan.

Malah situasi itu bertambah perit selepas moratorium selama enam bulan ditawarkan institusi kewangan, berakhir dengan tuntutan bayaran semula, sedangkan peminjam terkapai-kapai tanpa sebarang sumber pendapatan.

“Dalam situasi peminjam yang berdepan masalah kewangan bagaimana mereka boleh membayar pinjaman kepada bank?”

Buktinya, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (CASSA), Datuk Seri Dr Jacob George mendedahkan, pihaknya menerima kira-kira 30 sehingga 35 aduan seminggu sejak beberapa bulan lalu daripada individu terbeban, terutama mereka yang mengalami tekanan kerana menerima ‘desakan’ institusi kewangan.

Katanya, CASSA mendapati hampir kesemua aduan diterima itu berkait rapat dengan tekanan dikenakan institusi kewangan termasuk ansuran pinjaman bank dan kenderaan ditarik akibat kegagalan menjelaskan bayaran bulanan.

Tidak cukup dengan itu, peminjam dihantui gertakan samseng yang diupah khas pihak terlibat, semata-mata untuk mendesak mereka menjelaskan pinjaman pada kadar segera.

“Mereka ini tidak tahu mahu mengadu kepada siapa jadi mereka hubungi kita (CASSA) untuk minta nasihat sebab mereka kenal kita, selalu nampak muka kita turun padang. Mereka tanya apa perlu dibuat bila sedang bawa kereta, ada samseng datang tarik kereta dan bank hubungi berkali-kali mendesak, mereka panik.

“Dalam situasi peminjam yang berdepan masalah kewangan, tiada pekerjaan dan sumber kewangan terjejas teruk, bagaimana mereka boleh membayar pinjaman kepada bank,” katanya kepada Getaran.

Menurut beliau, semua senario itu adalah situasi sebenar dialami sebahagian besar rakyat dan ia bukan lagi satu kes terpencil.

“Apa yang berlaku ketika ini, rakyat Malaysia seolah-olah berdepan tragedi.”

CASSA katanya, setia dengan aspirasi mereka memperjuangkan nasib pengguna, justeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sering tampil menjadi pemudah cara antara peminjam dan institusi kewangan terbabit, bagi mencari jalan penyelesaian holistik, termasuk mengatur pertemuan buat kedua-dua pihak.

“Pertemuan dan perbincangan ini disertakan bukti dokumen bercop rasmi sebagai menunjukkan kesungguhan mereka untuk menjelaskan pinjaman, tetapi terhalang oleh masalah kewangan dihadapi.

“Apa golongan terkesan ini hadapi bukan seperti lima tahun lalu yang menyaksikan ia berpunca daripada kegagalan menguruskan kewangan sendiri, sebaliknya semua permasalahan itu timbul akibat COVID-19,” katanya.

Dalam hal ini jelas Jacob, moratorium ditawarkan seharusnya turut melibatkan pembekuan bayaran pokok dan faedah pinjaman sepanjang tempoh pemberian, bukannya menghimpunkan jumlah kewangan itu yang pastinya membebankan peminjam pada masa depan.

Mengulas lanjut beliau berkata, CASSA diberitahu, cara digunakan institusi kewangan ini jauh lebih teruk berbanding syarat dikenakan pemilik pinjaman tanpa lesen atau Ah Long.

“Beberapa hari lalu, ada satu keluarga bertemu saya menceritakan penderitaan mereka sehingga terpaksa menikmati nasi goreng hanya ‘berlaukkan’ bawang. Apabila saya meminta alamat dan nombor akaun bank untuk menyalurkan bantuan, mereka menolak walaupun didesak, kerana pertemuan tersebut cuma mahu meluahkan perasaan.

“Baru-baru ini pula, ada orang mengadu kepada saya yang keluarganya tidak makan selama tiga hari dan ada-ada masa, hanya mampu menjadikan air basuhan beras sebagai sumber makanan,” katanya sedih.

Jacob juga pernah berdepan dengan sebuah keluarga yang hanya mampu meninjau sebuah restoran dari luar, tetapi tidak berupaya membeli apa-apa kerana ketiadaan wang.

“Mereka memang tidak cakap secara langsung tetapi bila mereka mengeluarkan kata-kata yang jelas menggambarkan rasa putus asa, kita nampak sudah terlintas di fikiran mereka seolah-olah mahu membunuh diri.”

“Saya suruh mereka ambil makanan untuk tujuh ahli keluarga dan saya bayarkan. Apa yang benar-benar menyentuh perasaan, seorang daripada mereka memegang tangan saya untuk mengucapkan terima kasih dan tidak tahu bagaimana mahu membalas jasa saya,” katanya sebak.

Dalam keadaan masyarakat yang begitu teruk terkesan akibat COVID-19 katanya, institusi kewangan seharusnya mengambil pendekatan melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing, berbanding terus menekan pelanggan.

Sepanjang memperjuangkan isu kepenggunaan dan kemasyarakatan selama 40 tahun, Jacob mengakui belum pernah melihat penderitaan rakyat seperti sekarang.

“Apa yang berlaku ketika ini, rakyat Malaysia seolah-olah berdepan tragedi. Jangan jadikan peminjam ini muflis dalam situasi dia tiada kerja sehingga akhirnya kehilangan rumah, kereta ditarik, pemikiran tertekan, sekali gus memburukkan masalah sosial di dalam negara kita dan mencetuskan perasan marah serta benci berterusan terhadap kerajaan.

“Orang sangat tertekan apabila nak cari kerja tak ada, nak bayar hutang tak mampu, nak bincang dengan bank tak dilayan, berdepan masalah rumah tangga, anak menangis kelaparan atau sakit, isteri sedih. Ini semua menjadi tekanan berganda yang sering diadu kepada saya,” katanya.

Kerajaan katanya, perlu melakukan sesuatu bagi memastikan rakyat terkesan tidak terus menderita, seterusnya menerima bantuan bagi meringankan bebanan sepanjang pandemik.

Ketiadaan langkah berkesan tegas beliau, dikhuatiri akan mendorong individu terjejas mengambil keputusan drastik sehingga memudaratkan, termasuk terjebak dengan jenayah atau meragut nyawa sendiri.

Ditanya adakah individu yang menghubunginya ada meluahkan keinginan untuk membunuh diri, Jacob berkata perkara tersebut tidak dinyatakan secara langsung, namun beliau mengerti maksud tersurat di sebalik luahan perasaan itu.

“Mereka memang tidak cakap secara langsung tetapi bila mereka mengeluarkan kata-kata yang jelas menggambarkan rasa putus asa, kita nampak sudah terlintas di fikiran mereka seolah-olah mahu membunuh diri.

“Datuk Seri, saya hanya ada maruah dan jika terus ditekan seperti ini apa lagi saya ada untuk hidup. Jika saya bukan Islam dan tidak takutkan Tuhan, saya dah bunuh diri’, semua ayat ini sudah cukup menggambarkan bahawa perkara sedemikian bersarang di fikiran mereka,” katanya.

Dalam hal ini jelas beliau, kerajaan perlu segera memainkan peranan menyeluruh bagi memastikan situasi berkenaan dapat ditangani sebaik mungkin.

“Kerajaan dan institusi kewangan kena bantu mereka, jangan bila mereka sudah jatuh ditimpa tangga, kita mahu tendang mereka lagi,” katanya. – Getaran, 13 Julai 2021